Kes penipuan dalam urusan jual beli dan sewaan hartanah semakin hari semakin parah di Malaysia.
Apa yang merisaukan adalah, ada kes yang melibatkan bekas perunding hartanah dan ejen hartanah!
“Setakat ini, nisbah ejen hartanah palsu dengan ejen hartanah berdaftar yang sah adalah 10 :1”
Ini bermakna, setiap seorang ejen hartanah yang sah, ada 10 lagi ejen hartanah palsu di Malaysia!
Terbaru, portal Johor Kini melaporkan tiga individu menjadi mangsa penipuan pengurus ejen hartanah yang melibatkan kerugian RM103,000!
Buat pengetahuan anda, ‘Ejen hartanah’ sebenarnya terbahagi kepada dua. Fungsi dan bidang kuasa mereka adalah berbeza :-
Perunding Hartanah (REN) – Seorang ahli profesional yang berkelayakan untuk bekerja dalam industri hartanah dengan akreditasi berkenaan yang diperlukan dan hanya boleh mewakili satu firma hartanah sahaja.
Ejen Hartanah (REA) – Memerlukan kelayakan akademik & pengalaman dan boleh menggajikan seramai 50 orang perunding hartanah dalam urusan perkhidmatan hartanah termasuk jual beli, sewa dan pencarian.
Cara Mengenali Perunding Hartanah & Ejen Hartanah Berdaftar Yang Sah.
- Warna kad : Biru (Ejen Hartanah)
- Warna kad : Merah (Perunding Hartanah)
- Nama agensi : Hanya mewakili satu firma sahaja
- QR Kod : Setiap kad ada QR Kod yang tersendiri
- Nama : Ada dua nama (panggilan & nama penuh)
- Nombor : Setiap ejen hartanah ada nombor tersendiri
- Hologram : Ciri keselamatan untuk membezakan kad asli & palsu
Perunding hartanah dan ejen hartanah yang membuat pengiklanan samada melalui media cetak atau online wajib memastikan semua maklumat ini ada :-
- Maklumat perhubungan
- Nama perunding hartanah
- Nombor pendaftaran mereka
- Nombor e-pendaftaran ejen hartanah

Jenis Scammer Ejen Hartanah Palsu
1. Broker Kampung
Kebiasaannya, mereka adalah penjaga tidak rasmi, saudara mara atau kenalan yang kebetulan menyimpan kunci dan akses ke unit hartanah tersebut.
Broker kampung berjanji untuk menyelesaikan segala urusan pemindahan hak milik A-Z dengan syarat pembeli membuat bayaran deposit kepada mereka.
Mereka sama sekali tidak menggunakan perkhidmatan ejen hartanah dan pengakhirannya, pembeli ditipu.
2. Ejen Hartanah Palsu
Biasanya, mereka adalah ejen hartanah berdaftar yang telah dibuang daripada industri hartanah kerana terlibat dengan masalah salah laku dan pecah amanah.
Mereka mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang urusan jual beli hartanah dan menjadikannya sebagai satu usaha mencari duit tepi.
Mereka biasanya akan menguruskan proses pemindahan hak milik hartanah tanpa menerusi nama agensi hartanah dan menggunakan akaun peribadi untuk menerima transaksi pembayaran.
Semak terlebih dahulu kad atau tag perunding hartanah dan ejen hartanah mereka supaya anda tidak tertipu.
3. Sifu Hartanah Palsu
Golongan ini mengaku mempunyai hubungan dengan pemaju hartanah atau menjadi orang tengah di antara pembeli hartanah dan pemaju hartanah.
Dan golongan ini mengaku mampu mendapatkan harga belian lebih murah berbanding pasaran dan rebat bayaran guaman hartanah.
Taktiknya adalah dengan meminta pembeli membuat bayaran deposit menggunakan akaun peribadi dan bukan akaun agensi hartanah.
Ada juga situasi di mana, mereka mempromosikan rumah lelong dan dijual pada harga lebih murah berbanding harga pasaran semasa. Akan tetapi, proses lelongan tidak lakukan di dewan lelong dan dilakukan oleh beberapa individu sahaja.
Cara Penipuan Ejen Hartanah Palsu
1. Paksa Bayar Deposit – Mereka akan memaksa anda membayar deposit rumah atau rumah tersebut akan dijual pada orang lain.

2. Uruskan Semua Urusan A-Z – Golongan ini juga akan menjanjikan anda bulan dan bintang di mana anda tidak perlu buat apa-apa kerana segala urusan diuruskan oleh mereka sepenuhnya.
3. Mangsa Rumah Sewa Terdesak – Ejen hartanah palsu ini juga akan mencari mangsa yang terdesak untuk mencari rumah sewa bagi kemasukan pada kadar segera.
4. Jual Rumah Lelong – Ada juga kes di mana, mereka menawarkan rumah lelong pada harga tidak masuk akal dan proses bidaan tidak berlaku di tempat yang betul dan diuruskan beberapa orang individu sahaja.
Kesimpulannya, anda sebagai pembeli hartanah memang kena berhati – hati dan bijak mengenal ejen hartanah palsu ini. Mereka ada di mana – mana dan sedia mencari mangsa yang terdesak samada ingin membeli rumah atau menyewa rumah.
Rakyat Malaysia yang sudah terkena scam ejen hartanah palsu ini tidak terbatas kepada golongan pembeli rumah pertama sahaja, bahkan golongan profesional dan golongan veteran yang sudah bersara sekalipun menjadi mangsa.
Suka atau tidak, cara terbaik untuk meminimakan risiko terciduk ketika membeli dan menyewa rumah adalah dengan menggunakan khidmat perunding hartanah atau ejen hartanah berdaftar yang sah sahaja.
Sumber Info Majalah Labur
